Terjumpa resipi nasi ni dalam buku resipi lama mama. Bila tengok bahan, takdelah susah sangat. Alhamdulillah bila dah siap masak hidangan istimewa, sedap rasanya cuma akak terlupa letak garam (kat dalam buku pun ma terlupa tulis). So, ini resipi yang lengkap.
Bahan:
5 pot basmati yg dibasuh bersih, direndam 15 minit dan ditoskan.
5 biji bawang merah dimayang
4 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris
3 sudu besar minyak sapi
1/2 cawan minyak masak
2 helai daun pandan
1 tin susu cair
Air secukupnya untuk memasak beras
1 sudu kecil garam
5 biji cengkih
1 batang kayu manis
5 biji buah pelaga
Pewarna merah/hijau/kuning untuk dititis pada nasi
Air mawar untuk direnjis
Bawang goreng/gajus/badam untuk hiasan
Penyediaan:
1. Panaskan minyak dan minyak sapi dalam periuk. Tumiskan bahan tumis (cengkih, kayu manis, pelaga) sebentar. Masukkan bawang besar, bawang putih dan halia. Masak hingga layu.
2. Masukkan daun pandan dan beras. Goreng sebentar dan masukkan susu cair, air dan garam. Tutup tudung periuk dan biarkan nasi masak.
3. Setelah masak, renjiskan air mawar di permukaan nasi dan kemudian buatkan 3 lubang kecil bagi memasukkan sedikit pewarna tadi. Tutup periuk nasi dan biarkan selama seminit. Kemudian, gaul perlahan nasi dan boleh dihidang serta dihias dengan bawang goreng/badam atau gajus.
Nasi kerabu yang menggamit nostalgia time 'tandus duit' ketika belajar. Dek kerana Allah beri rezeki banyak bunga telang berkembang sehari dua ni, saya decide nak cuba resipi nasi kerabu.
Menu nasi kerabu ni sangat saya syukur sangat dapat kenalnya waktu belajar di Kelantan. Ia menu murah, sedap dan banyak. Dengan harga hanya RM1.50 (jika tak silap), kami boleh dapat sebungkus nasinya berserta dengan keropok dan telur masin. Jika ada duit lebih, saya minta ikan seekor atau ayam seketul. Berkira-kira sangat dengan duit masa tu.
Dan bila saya cuba masak nasinya kali ini, warna birunya tidaklah seperti diharapkan. Barangkali kuntuman bunganya tidak cukup banyak untuk menaikkan warnanya.
Kuah Sambal Tumis
Bahan bahan:
12 tangkai cili kering
3 biji bawang merah
1 biji bawang besar
½ labu bawang putih
1 inci halia
2 cawan air
200 gm santan segar pekat
3 batang serai - ketuk
2 keping asam keping
1 ½ sudu besar gula
2 sudu kecil garam
3 sudu besar budu
1 cawan minyak masak
Penyediaan:
1. Kisar cili, bawang bawang dan halia. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan air dan kacau sebentar. Selepas itu, masukkan santan. Sentiasa dikacau supaya santan tidak berketul-ketul.
2. Masukkan serai, asam. Bila mendidih, masukkan budu dan gula. Rasa sebelum masukkan garam supaya tidak terlalu masin. Kacau sehingga pecah minyak, kuah memekat dan boleh tutup api.
Sambal Cili
10 batang cili merah
Garam
Gula
1 inci belacan
1/2 cawan air asam jawa
Limau nipis/cuka/lemon
- Kisar kesemuanya dan kemudian masak sebentar atas dapur. Siap.
Ulam ulaman
Kubis
Kacang panjang
Daun kesum
Bunga kantan
- Hiris halus & campurkan. Sedia untuk dihidangkan.
Sambal Ikan
Bahan bahan:
1 biji kelapa parut digoreng sehingga keperangan dan tumbuk kasar
5 ekor ikan sardin direbus, ambil isinya dan tumbuk
5 biji bawang merah
3 batang serai
2 sudu besar gula
2 sudu kecil garam
Penyediaan:
Tumbuk serai hingga hancur dan masukkan bawang merah. Tumbuk lagi. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan isi ikan yang telah ditumbuk dan kelapa goreng yang telah ditumbuk. Gaul mesra. Rasa sedikit. Jika ada terkurang masin dan manisnya, boleh betulkan.
Bahan lain yang anda boleh sertakan untuk makan dengan nasi kerabu adalah seperti telur masin, keropok goreng, solok lada atau daging/ayam panggang.
Menu nasi ni mudah sangat. Resipi nasi ini tak perlu guna minyak sapi. Hanya guna minyak zaitun aje. Itupun dalam 3 sudu besar untuk 5 pot beras. Sangat istimewa dan sedap menu nasi ni. Cubalah.
Bahan:
5 pot basmati (dibasuh bersih, direndam 1/2 jam dan tapis)
7 pot air (untuk air, lebihkan 2 pot dari beras)
3 sudu besar minyak zaitun
8 biji buah pelaga
10 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 helai bay leave
1 sudu kecil garam
1/4 cawan susu cair
3 sudu besar yogurt
Sedikit pewarna kuning / safron
Bahan hiasan:
7 biji telur rebus
5 biji kentang kecil direbus
2 batang cili hijau dipotong seinci-seinci
Bawang goreng
Kacang gajus atau badam
Sedikit kismis
Penyediaan:
1. Di dalam periuk nasi, masukkan air, minyak zaitun, buah pelaga, cengkih, bunga lawang, daun salam dan garam. Masak sehingga air mendidih.
2. Masukkan beras, kacau seketika dan biarkan masak sehingga nasi hampir 80% masak.
3. Kemudian, masukkan yogurt dan susu cair. Kacau sebentar dan biarkan nasi masak sepenuhnya. Bila periuk nasi dah bermula tanda nasi masak, masukkan beberapa titik pewarna kuning ke atas nasi. Tutup penutup periuk nasi dan biarkan ia seketika (lebih kurang 5-7 minit). Selepas itu, gaul perlahan-lahan nasi dan pewarna tadi agar nasi tidak patah.
4. Untuk hidangan, masukkan nasi briyani ke dalam mangkuk nasi dan taburkan bahan hiasannya iaitu kacang gajus, telur rebus, kentang rebus, cili hijau, bawang goreng dan kismis.
Harini janji dengan Rudy sama-sama nak buat menu nasi kandar. Jadinya, hidangan istimewa kali ni saya ambil part masak nasi & lauk pauk manakala dia goreng ayam & goreng popodam + food tester lauk. Plus, kali ni saya masak letak kas kas.
Bahan:
7 pot beras Basmathi
2 biji buah tomato - direbus
1 helai daun pandan
7 sudu besar minyak sapi
Rempah 4 sekawan – kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih
1 sudu kecil garam
1/4 cawan susu cair
Sedikit pewarna kuning
Bahan kisar basah:
8 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2 inci halia
Bahan kisar kering:
2 sudu besar rempah ketumbar
2 sudu besar jintan manis
2 sudu besar jintan putih
1 sudu kecil kas kas
Penyediaan:
1. Panaskan minyak sapi dalam periuk. Tumis rempah 4 sekawan, daun pandan.
2. Masukkan bahan kisar basah & kacau seketika sehingga naik bau. Masukkan bahan kisar kering dan tomato yang direbus tadi.
3. Masukkan pila beras dan goreng seketika. Tuang air secukupnya dan garam.
4. Masak nasi seperti biasa sehingga air hampir kering. Bila telah kering, tuangkan susu cair. Kacau rata dan tutup periuk.
5. Bila air telah kering, titis pewarna kuning dan tutup periuk. Jangan dikacau. Setelah nasi benar benar masak, baru kacau rata. Siap untuk dinikmati hidangan istimewa ini.
Nasi minyak, menu nasi hidangan istimewa yang kadang-kadang masak untuk keluarga. Tak susah sangat resipi nasi minyak ni.
Bahan:
5 1/2 cawan beras basmathi, rendam 20 minit dan toskan
1 tin susu cair
1 tin kecil minyak sapi
5 1/2 cawan air
1 biji bawang besar, hiris halus
2 helai daun pandan
3 ulas bawang putih*
4 cm halia*(*kisar halus)
2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil gula
1 batang kayu manis#
1 kuntum bunga lawang#
3 biji buah pelaga#
5 kuntum bunga# cengkih#(#rempah tumis)
Sedikit pewarna kuning & hijau
Penyediaan:
1. Panaskan minyak sapi. Tumis rempah tumis dan bawang besar hingga harum. Masukkan bahan kisar dan daun pandan. Tuang air dan biarkan ia mendidih.
2. Masukkan susu cair, garam & gula. Bila mendidih, padamkan api dan tuang dalam periuk nasi, masukkan beras, kacau rata dan masak seperti biasa.
3. Bila nasi kering, buat beberapa lubang dan masukkan pewarna kuning dan hijau. Biar nasi betul-betul masak.
4. Gemburkan perlahan menggunakan garfu. Angkat dan letakkan dalam bekas nasi. Tabur bawang goreng dan hirisan daun sup/bawang. Siap.
Hadis Riwayat Muslim
Bahan:
2 cawan nasi sejuk
3 ketul fishball dihiris
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 biji telur pukul sedikit
2 tangkai kacang buncis dihiris
1/2 batang lobak merah dipotong bulat & belah dadu
Garam secukup rasa
Serbuk lada sulah secukupnya
Hirisan daun bawang
Cili merah dihiris
2 sudu minyak masak untuk menumis
Penyediaan:
1. Panaskan 2 sudu besar minyak kemudian tumis bawang putih & bawang besar hingga naik bau.
2. Masukkan fishball & goreng seketika. Tambah lobak merah & kacang buncis. Kacau & masak seketika.
3. Ketepi isi kuali, masukkan telur, kacau seketika & bila telur kelihatan berketul, masukkan nasi & lada sulah. Kacau rata. Masukkan garam secukup rasa & masak seketika. Tutup api. Pindahkan nasi goreng cina yang sudah masak ke dalam mangkuk & hiaskan dengan daun bawang & cili merah.
Nasi ayam, siapa yang tak suka kan. Dari orang dewasa sehinggalah kanak-kanak, kalau takde idea nak makan apa di kedai, inilah menu yang paling mudah nak dapat di mana-mana. Masak pun sebenarnya takdelah susah mana. Cuma nak dapatkan rasa yang sedap dan famili suka, kena cuba dari banyak resipi nasi ayam di internet or kenalan.
Ini resipi nasi ayam dengan ayam bakar yang semua famili saya approve. Resipi daripada tiffinbiru atau Encik Mat Gebu.
NASI AYAM.
Bahan-bahan:
4 cawan beras Basmathi, cuci dan rendam 45 minit dan toskan
5 1/2 cawan air rebusan ayam
1 helai daun pandan, disimpul
1 kuntum bunga lawang
3 ulas bawang putih, diketuk
1 inci halia, diketuk
1 camca besar penuh majerin (planta)
Garam secukup rasa
Hirisan daun sup/daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng untuk hiasan
Daun salad
Hirisan timun dan tomato secukupnya
Penyediaan:
Panaskan marjerin dalam kuali. Tumis halia, bawang putih, daun pandan dan bunga lawang hingga harum, masukkan beras basmathi, gaul rata dan goreng 1 minit, guna api sederhana dan kacau selalu. Matikan api.
Pindahkan beras ke dalam periuk nasi elektrik, tuang air rebusan ayam, masukkan garam secukup rasa dan kacau rata. Masak hingga nasi masak. Gemburkan dan off suis periuk nasi. Tabur hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan bersama daun salad, hirisan tomato, timun, sup ayam, sos dan ayam bakar madu.
SUP UNTUK NASI AYAM.
Bahan-bahannya:
6 - 8 kaki ayam / 2 bahagian dada ayam
2 inci halia, dititik*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 batang serai, dititik*
1 kuntum bunga lawang*
5 kuntum bunga cengkih*
2 biji buah pelaga*
1 kiub pati ayam (optional)*
1 camca teh lada hitam kisar
4 liter air (atau secukupnya)
1 sup bunjut Adabi
1 biji kentang, kupas dan potong kiub
Penyediaan:
Kaki / dada ayam dicuci bersih dan kerat. Masukkan ke dalam periuk bersama air dan bahan-bahan bertanda (*), kacau dan masak hingga menggelegak, kemudian sederhanakan api dan terus merenih selama 45 minit (kalau kurang kuah, tambah air lagi) jika ada seakan-akan buih timbul dipemukaan sup, keluarkan. Asingkan 5 1/2 cawan air rebusan untuk memasak nasi.
Kemudian masukkan sup bunjut, lada hitam kisar dan kentang. Masak lagi hingga kentang empuk.
AYAM BAKAR BERMADU.
Bahan-bahan:
6 kepingan kepak ayam bersaiz besar / apa sahaja bahagian ayam yang anda suka
4 ulas bawang putih, tumbuk halus
2 camca besar kicap pekat
3 camca besar madu
Garam secukup rasa
Sedikit majerin
Penyediaan:
Cuci bersih kepak / bahagian ayam, kemudian cucuk-cucuk dengan garfu pada semua bahagian. Masukkan dalam satu bekas. tambah semua bahan2 diatas kecuali garam dan majerin. Gaul rata pada semua bahagian kepak ayam, tambah garam secukup rasa dan perap 5 - 6 jam dalam peti sejuk....
Panaskan kuali ajaib dengan sedikit majerin, kemudian susun kepak ayam tadi dan ketepikan jus yang terhasil dari bahan perap tadi. Kecilkan api dan tutup kuali. Masak 10 minit. Sementara itu, jus perapan dimasak hingga pekat sedikit. Gunakannya untuk menglis ayam semasa proses membakar. Ayam akan masak kurang lebih 25 minit... Boleh hidangkan bersama nasi ayam tadi.
SOS UNTUK NASI AYAM.
Bahan-bahan:
5 biji cili merah
3 ulas bawang putih
1 biji tomato merah saiz sederhana, potong kecik
1/2 kiub pati ayam, hancurkan
2 cawan air
3 camca besar gula (atau secukup rasa)
Sedikit garam
Penyediaan:
Kisar cili, bawang putih dan tomato dengan 2 cawan air hingga halus. Tuang ke dalam periuk, masukkan gula, kacau dan masak hingga mendidih, guna api sederhana dan kacau selalau.
Masukkan kiub ayam dan cuka makan. Tambah sedikit garam, kacau dan masak sekejap. Perlahankan api, tuang bancuhan tepung jagung (kacau sebelum dituang) dan kacau hingga sebati dan terus memasak hingga pekat. Matikan api dan biar sejuk.
We use cookies to analyze website traffic and optimize your website experience. By accepting our use of cookies, your data will be aggregated with all other user data.