Moist butter cake yang sedap. Akhirnya kek saya buat tak bantat kejadiannya lagi. Alhamdulillah...
Saya & kek bantat tak dapat dipisahkan. Kalau tak bantat, hangit. Memang tragis betul nak dapatkan kek yang diidam. Ini antara resipi mudah yang anda boleh cuba jika ada masalah nak buat kek seperti saya.
Bahan:
250 gram mentega (saya guna brand Anchor)
250 gram tepung naik sendiri (tepung gandum 1 1/4 cawan + 1/2 sudu kecil baking powder+ 1/4 sudu kecil garam)
180 gram gula kaster
4 biji telur
1/2 cawan susu segar
Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 170°c.
2. Dalam satu mangkuk, pukul mentega dan gula hingga kembang, gebu dan bertukar warna cerah. Masukkan telur sebiji demi sebiji berselang-seli dengan tepung. Pukul hingga mesra. Kemudian, masukkan susu segar dan pukul hingga sebati. Just guna low speed.
3. Masukkan dalam loyang segi empat tepat yang saiz sederhana (bahan tak banyak sangat) dan telah disapu mentega dan disadur tepung / baking sheet. Bakar selama 35-40 minit atau sehingga masak. Setelah masak, keluarkan dari oven dan biarkan ia sejuk seketika sebelum dikeluarkan dan dipotong.
Kali ni saya cuba buat kek oldies, kek buah. Tak pernah seumur hidup saya buat kek buah ni. Entah macam mana, tiba-tiba teringin nak buat. Mungkin sebab encik suami selalu beli kek ni kat petronas atau kiosk kecik, tu yang cuba buat. Alhamdulillah jadi. Happy rasa hati.
Untuk yang nak cuba buat kek ni, ini saya kongsikan resipi mudahnya. Saya ambil idea juga dari resipi Che Nom (terima kasih Cik Nom kongsi ilmu).
Bahan-bahan:
340g gula
60ml air panas
500g campuran buah kering
200gm gajus
250g mentega (saya guna Golden Churn untuk rasa zaman dolu-dolu)
350g tepung gandum
1 sk cream of tartar
2 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 sudu kecil serbuk kayu manis
3 biji telur
1 sudu kecil esen vanilla
Penyediaan:
1. Untuk kek ni saya guna buah-buahan kering dibeli kat kedai barang timur tengah. Potong dadu halus buah-buahan tadi dan boleh terus masukkan kismis seketul-seketul jika suka. Jumlah sukatan berat buah-buah kering adalah 500g.
2. Masukkan tepung gandum, cream of tartar, campur dengan baking soda dan serbuk kayu manis kemudian ayak. Loyang boleh guna 8x8 inci, atau 9x9 inci. Gris dengan mentega atau majerin (guna aje baki mentega kat kertas balut mentega tadi). Alas loyang dengan baking paper.
3. Pecahkan telur kemudian tambah esen vanilla. Pukul sebati dan ketepikan.
4. Untuk gula hangus, masukkan gula pasir atau gula putih dalam kuali besar. Buka api dan tunggu sehingga gula mencair dan mula keperangan berkaramel. Tak perlu kacau. Goyang sikit-sikit aje kuali tu.
5. Bila dah mula cair dan naik buih-buih halus, tuang masuk air panas perlahan-lahan agar gula tidak terpercik tangan. Bila masuk air panas, gula akan stop crystalize, terus masukkan semua potongan mentega dan biar mencair perlahan-lahan.
6. Masukkan semua buah campuran kering dalam adunan air gula. Kacau perlahan dan masak sampai mendidih sikit, kemudian tutup. Biarkan ia suam-suam kuku.
7. Bila dah suam, tuang masuk tepung sedikit demi sedikit dalam adunan gula dan kacau rata sampai sebati. Adunan memang akan jadi pekat bertali. Masuk telur dan gaul kaup balik sampai sebati.
8. Tuang masuk adunan dalam loyang. Ratakan dan hentak 2-3 kali supaya tak ada rongga udara besar terperangkap.
9. Sebelum mengukus, tutup loyang dengan aluminium foil, untuk elak wap air jatuh masuk dalam kek, dan balut untuk dapat hasil kek buah yang lembap. Dek kerana kat rumah mama saya barangnya limited, jadinya saya tutup dengan plastik dan ikat dengan getah agar plastiknya tak melendut sangat bila kukus.
10. Masukkan dalam pengukus dan kukus dalam 3-4 jam. Time ni guna api sederhana aje.
11. Lepas dah masak boleh tunggu kek sejuk sepenuhnya sebelum potong. Minyak-minyak mentega (mentega yang cair dalam loyang) kita sapu je atas permukaan bagi kek lembab kilat. Sedia untuk dimakan.
Alhamdulillah, kek marble kali ni menjadi. Resipi mudah ni mostly orang boleh buat cuma datang kat tangan saya, kekadang jadi, kekadang tidak.
Dan syukur sangat, menjadi kali ni kek saya. Masuk dalam oven pun dah berselawat. Resipi kali ni saya ambil dari web @matgebu .
Bahan:
250 gram majerin
130 gram gula kastor
4 biji telur gred A
240 gram tepung self rising
1/4 cawan susu segar
1 camca teh esen vanilla
1 camca besar serbuk koko
Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 175C°. Lenser tin dengan majerin dan alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser juga kertas tadi. Ketepikan.
2. Guna mixer, pukul majerin dan gula kastor hingga kembang. Setelah gula hancur dan kembang, masukkan telur satu persatu dan terus putar mixer hingga adunan kembang memucat.
3. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung berselang-seli dengan susu segar, hingga habis. Tambah esen vanilla dan putar rata.
4. Ambil 7 sudu besar adunan tadi dan masukkan ke dalam mangkuk lain. Tambah serbuk koko dan, kacau rata hingga sebati.
5. Tuang 1/2 adunan tanpa warna dan kemudian sudukan beberapa bahagian atasnya dengan adunan koko, tuang baki adunan tanpa warna dan sudukan lagi baki adunan koko. Guna lidi atau hujung pisau, pusingkan adunan tadi beberapa kali agar membentuk corak marble.
6. Bakar dalam oven 40 minit atau hingga kek masak. Uji kek dengan mencucuk lidi sate bersih pada bahagian tengahnya, kalau keluar bersih tanda kek masak. Keluarkan kek dari oven, biarkan 5 minit dan boleh keluarkan kek dari tin. Biarkan ia sejuk sendiri dan barulah dipotong dan dimakan beramai-ramai.
Biskut ni resipi mama saya. Kami ambil dari buku resipi dia masa muda. Kiranya ini resipi turun-temurun keluarga kami. Anda boleh cuba. InsyaAllah sedap, rangup dan bertambah makannya.
Bahan:
1 cawan mentega (100gm)
1 cawan gula ising (100gm)
2 biji telur saiz B1 sudu kecil soda bicarbonate
1 cawan crunchy peanut butter
1 cawan gula perang
2 1/2 cawan tepung gandum diayak
2 sudu kecil serbuk koko
2 cawan cip coklat
1 pek coklat nips/m&m
2 sudu kecil emplex (untuk menggaringkan biskut)
Penyediaan:
1. Pukul mentega dengan peanut butter hingga sebati. Masukkan gula ising dan gula perang dan pukul lagi.
2. Masukkan telur dan gaul rata. Guna spatula je. Masukkan tepung gandum, soda bicarbonate, serbuk koko dan emplex. Gaul hingga mesra.
3. Masukkan cip coklat dan kacau perlahan-lahan.
4. Panaskan oven pada suhu 180° api atas bawah.
5. Sapukan sedikit dasar loyang dengan mentega. Kemudian, sudukan adunan dengan sudu kecil dan letakkan dia atas loyang. Bakar selama 20 minit. Jika untuk kanak-kanak, boleh letak nips/m&m di atas adunan kecil biskut sebelum dimasukkan dalam oven.
Cookie monster cookies ala hulk💚💚
Resipi biskut ni jumpa di TikTok. Bila omputih sambut Christmas, seronok tengok macam-macam jenis biskut depa buat. Jadinya, dek kerana family suami suka biskut, saya try buat. Alhamdulillah, menjadi.
Cubalah resipi mudah biskut cookie monster ni.
Bahan:
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking soda
1/4 sudu teh garam
1 cawan mentega
1 cawan gula perang
1 cawan gula kastor
1 biji telur (jika guna saiz c, guna 2 biji telur)
1 biji kuning telur
1 sudu besar ekstrak vanila
2 sudu besar pewarna biru / hijau
1 plastik oreo dipatah 4
1 plastik oren untuk inti
1 cawan cip coklat
1 cawan kiub coklat
Penyediaan:
1. Dalam mangkuk besar, pukul mentega, gula perang dan kastor hingga gebu.
2. Masukkan telur, telur kuning, ekstrak vanila dan pewarna biru/hijau. Pukul hingga kembang.
3. Kemudian, masukkan campuran tepung, garam & baking soda ke dalam adunan mentega. Pukul sehingga mesra.
4. Selepas itu, masukkan cip coklat & gaul.
5. Panaskan oven pada 170°c. Sediakan dulang yang disapukan sedikit mentega / tracing paper.
6. Kaup sedikit adunan biskut & bulatkan ia. Letak atas dulang dan leperkan skit & kemudian letak sebiji oreo ditengahnya dan kemudian ambil sedikit adunan dan tutup oreo tersebut.
7. Masukkan dulang berisi biskut ke dalam oven dan bakar 15-18 minit. Tengok pada saiz biskut dan oven anda.
8. Setelah masak, rehatkan seketika atas relai dan boleh masukkan dalam bekas simpanan kedap udara.
Riwayat Bukhari dan Muslim
Resipi biskut 'Chewy' cips coklat ala subway 🍪🍪
Dek kerana ada orang kata 'lama tak buat biskut ni', makanya rezekilah buat di Ampang. Adalah Elly membantu + food tester yg berkeping-keping makan. Kiranya, resipi mudah ni, budak-budak pun boleh buat.
Bahan:
2 cawan tepung gandum (jika jumpa tepung oatmeal, jadikan ianya 1 cawan gandum + 1 cawan tepung oatmeal)
1 sudu kecil baking soda
1/4 sudu teh garam
1 cawan mentega yang kemudian dicairkan
1 cawan gula perang
1 cawan gula kastor
1 biji telur
1 biji kuning telur
1 sudu besar ekstrak vanila
2 cawan cip coklat (1/4 tinggalkan untuk topping bila nak membakar)
Penyediaan:
1. Dalam mangkuk besar, pukul mentega, gula perang dan kastor hingga gebu.
2. Masukkan telur, telur kuning dan ekstrak vanila. Pukul hingga kembang.
3. Kemudian, masukkan campuran tepung, garam dan baking soda yang diayak tadi ke dalam adunan mentega. Pukul sehingga adunan mesra.
4. Selepas itu, masukkan cip coklat dan gaul.
5. Panaskan oven pada 170°c.
6. Sediakan dulang yang disapukan sedikit mentega
7. Kaup sedikit adunan biskut dan bulatkan ia. Letak atas dulang. Jika mahu biskut besar maka, kaup le banyak sikit.
8. Masukkan dulang yang berisi biskut tersebut ke dalam oven dan bakar 15-18 minit. Tengok pada saiz biskut dan oven anda.
10. Setelah masak, biarkan seketika & boleh masukkan dalam bekas simpanan kedap udara.
Biskut chocolate rice, resipi mudah budak pun boleh buat.
Resipi lajen dari kami masih kecil hingga anak sedara pun dah besar.
Bahan:
340gm mentega
190gm gula aising
3 sudu besar susu pekat
3 biji kuning telur
1 1/2 sudu kecil ekstrak vanila
595g tepung gandum
42gm serbuk koko
3/4 sudu kecil baking powder
Bahan untuk aising:
340gm gula aising
7 sudu besar air suam
1 1/2 sudu kecil ekstrak vanila
42gm serbuk koko
Penyediaan:
1. Masukkan mentega, gula aising, susu pekat, kuning telur dan ekstrak vanila ke dalam mangkuk besar. Pukul semua bahan hingga gebu (berkrim).
2. Selepas itu, masukkan tepung, serbuk koko dan baking powder sediki demi sedikit. Pukul hingga adunan mesra dan uli sehingga jadi doh. Ratakan dalam dulang.
3. Panaskan oven pada suhu 165°c. Masukkan adunan tadi dan bakar selama 25 minit atau bahagian atas keperangan.
4. Setelah masak, keluarkan dari oven dan rehatkan sebentar dalam 5 minit. Sementara itu, siapkan bahan topping aising.
5. Masukkan gula aising, serbuk koko, air suam dan vanila. Gaul hingga mesra. Kemudian, ratakan adunan coklat tersebut di atas biskut yang sudah sedikit sejuk. Selesai ratakan, taburkan dengan chocolate rice. Selepas 10 minit, boleh potong ikut petak saiz yang anda suka. Sedia untuk dimakan. Boleh juga simpan dalam bekas kedap udara.
Jika rumah anda ada banyak lobak merah, bolehlah cuba kek ni. Makan begitu aje pun sedap, nak letak cream atasnya pun sesuai. Masa mula-mula belajar masak, kek ni lah resipi mudah saya selalu cuba.
Bahan:
1/2 cawan tepung serbaguna
1/2 cawan gula kastor
1/4 cawan gula perang
1 sudu kecil baking soda
2 sudu kecil serbuk kayu manis
1/2 sudu kecil garam
3/4 cawan minyak sayuran/zaitun
2 biji telur saiz A
1 sudu besar ekstrak vanila
11/2 cawan parutan lobak merah
1/2 cawan kismis
Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 175 Celcius
2. Sediakan loyang 9 inci atau apa aje bekas yang anda ada yang boleh masuk ke dalam oven. Sadurnya dengan sedikit minyak sayuran dan letakkan helaian kertas minyak dibawanhnya dan sadurkan sedikit minyak sayuran juga.
3. Dalam mangkuk lain, masukkan parutan lobak dan kismis di dalamnya. Masukkan 1 sudu besar tepung serbaguna & gaulnya. Ini bagi memastikan bila anda campurkan bahan ini ke dalam tepung dan masak, ia akan tersebar ke seluruh kek dan bukan jatuh di dasarnya.
4. Di dalam mangkuk besar yang lain, masukkan semua bahan kek tadi (gula kastor, gula perang, cinnamon, garam, baking soda, minyak dan telur) kecuali tepung dan gaul hingga semuanya mesra. Kemudian, masukkan campuran lobak, nanas, kismis dan tepung tadi ke dalamnya. Gaul lagi.
5. Masukkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 30 minit. Cucuk dengan lidi untuk pastikan kek sudah masak dalamnya.
6. Jika kek sudah masak, letakkannya di atas relai dan biarkannya ianya sejuk. Setelah sejuk, boleh terus dinikmati dan jika suka krim, bolehlah paipkan atasnya.
Saya dapat resipi ni dari YouTube @che_nom . Alhamdulillah sedap. Jika dulu masa belajar, saya buat mesti ada liat atau keras, tapi yang hatni, sedap & tak manis sangat.
Oh ya, dan baru saya juga tahu, rupanya nak potong ke batik yang cantik, kena guna pisau panjang yang dicelup sebentar dalam air panas & kena lap selalu untuk dapat potongan yang cantik. Terima kasih sekali lagi Che Nom untuk tipnya.
Bahan:
2 pek biskut marie (540 - 600gm) dipatah empat
200gm mentega
153gm susu pekat
50gm serbuk koko
120gm milo
118ml air panas
1 biji telur
1 sudu kecil ekstrak vanila
Secubit garam (jika guna unsalted butter)
Bahan topping chocolate ganache:
200ml whipping cream
200gm coklat masakan
1 sudu kecil ekstrak vanila
1 sudu besar mentega
Penyediaan:
1. Panaskan kuali besar yang non stick dengan api sederhana (kuali biasa pun ok). Masukkan mentega. Masak hingga cair dan kacau sekali-sekala.
2. Bila sudah mencair, masukkan susu pekat, serbuk koko dan milo. Kacau dengan pantas agar tidak berketul dan semuanya mesra. Masukkan air panas, kacau hingga mendapat adunan yang pekat dan licin.
3. Masukkan sedikit garam (sebab saya guna unsalted butter). Masukkan juga telur. Kacau hingga mesra dan kemudian masukkan ekstrak vanila dan gaul lagi.
4. Masukkan biskut marie sedikit demi sedikit sambil mengacau. Kacau hingga semuanya bersalut adunan coklat dan sekata. Biarkan sebentar hingga biskut menyerap lembapan dan barulah pindah ke dalam loyang atau Tupperware yang dilapik dengan baking paper atau plastik. Masukkan biskut marie sedikit demi sedikit sambil tekan mampat adunan biskut ini. Selepas itu, masukkan ke dalam peti sejuk.
5. Untuk adunan topping coklat, panaskan whipping cream atas dapur sehingga mendidih dan kemudian tuangkan ke dalam bekas berisi coklat masakan. Masukkan juga ekstrak vanila dan mentega. Kacau semuanya hingga coklat mencair dan mesra. Tuang adunan coklat ini ke atas kek batik dengan sekata. Masukkan kek ke dalam peti sejuk dan sejukkan selama 4-5 jam atau seharian. Siap untuk dinikmati.
Ni resipinya kalau ada yang nak cuba. Sambil masak, kek ini mampu buat rumah kita jadi harum semerbak dengan bau kek dan lemon. Wangi.
Resipi mudah kek ini asalnya dari @melissadarabian . Anda boleh cuba. InsyaAllah sedap.
Bahan:
1/2 cawan mentega suhu bilik
1/2 cawan gula caster
2 biji telur saiz A suhu bilik
1 sudu kecil vanila
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar jus lemon
1/4 sudu kecil parutan kulit lemon (lemon zest)
Penyediaan:
1. Dalam satu mangkuk, satukan tepung, garam dan baking powder. Ketepikan.
2. Kemudian, panaskan oven 175°c api atas bawah. Lapikkan loyang saiz 8 inci dengan baking paper dan sapukan mentega kelilingnya. Ketepikan.
3. Pukul mentega dan gula sehingga adunan gebu menggunakan hand mixer selama 3-4 minit. Selepas itu, masukkan telur satu persatu diikuti dengan vanila.
4. Masukkan separuh daripada campuran tepung tadi ke dalam adunan dan pukul dengan hand mixer hingga sekata. Masukkan pula jus dan parutan kulit lemon. Campurkan dan masukkan baki tepung tadi. Pukul sebentar dan masukkan adunan ke dalam loyang.
5. Bakar adunan lebih kurang 20-25 minit sehingga atasnya garing. Setelah masak, keluarkan dari oven dan biarkan ia sejuk di atas relai. Setelah sejuk, bolehlah dipotong ikut saiz yang disuka.
Riwayat al-Tirmizi
Bahan biskut lembut ni mudah dapat. Rudy kata sedap. Ayah mertua pun berulang makan. Dan pelanggan saya yang dok melbourne pun suaminya kata sedap. Bila depa kata sedap, makanya insyaAllah sedaplah rasanya. Jom cuba resipi mudah biskut ni.
Bahan:
2 3/4 cawan tepung gandum
1 1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil baking powder
250gm mentega suhu bilik
1 3/4 cawan gula perang
2 biji telur suhu bilik
2 sudu kecil ekstrak vanila
2 cawan cip coklat
Penyediaan:
1. Ayak tepung gandum, garam, baking powder dan baking soda dalam satu bekas besar. Ketepikan.
2. Dalam mangkuk lain, pukul mentega dan gula perang guna aje hand mixer sehingga adunan menjadi pucat & gebu. Kemudian, masukkan telur satu persatu ke dalam adunan. Selepas itu, masukkan pula ekstrak vanila. Pukul hingga mesra guna kelajuan rendah. Masukkan bahan kering tadi sedikit demi sedikit sehingga mesra.
3. Tutup mixer dan masukkan cip coklat ke dalam mangkuk adunan. Kacau guna spatula atau senduk kayu aje. Gunakan plastik wrap / cling dan tutup adunan tersebut dengan menekannya rapat. Simpan doh biskut ini ke dalam peti sejuk selama 2-3 jam.
4. Panaskan oven pada suhu 180°c. Letakkan 2 helai kertas surih (parchment paper) di atas loyang membakar. Gunakan skop aiskrim & skop doh tersebut. Jarakkan setiap skop biskut 2 inci. Bakar adunan selama 12-15 minit iaitu sehingga permukaan tepi biskut garing di tepi dan bertukar seluruhnya berwarna perang.
5. Keluarkan biskut dalam oven dan biarkan biskut menyejuk dalam 10 minit dalam tray sebelum dipindahkan ke atas 'wire rack'. Ulang proses yang sama untuk adunan berbaki.
We use cookies to analyze website traffic and optimize your website experience. By accepting our use of cookies, your data will be aggregated with all other user data.